Latar belakang Panji_TLDM

Panji-panji (ensign) dikibarkan di buritan kapal untuk menandakan negara pemilik kapal tersebut. Rekod penggunaan awal panji-panji mengikut undang-undang di laut ialah pada tahun 1297 apabila Raja England, Raja Edward I dan Guy, Count Flanders, menetapkan kapal-kapal pedagang haruslah mengibarkan panji-panji pelabuhan dari mana mereka berasal. Pada waktu itu, angkatan laut England telah mula mendominasi kawasan perairan di sekitar kepulauan mereka dan setiap kapal dagang asing yang melalui perairan mereka harus merendahkan panji-panji mereka tanda hormat. Sehingga kini, amalan ini diteruskan oleh kapal-kapal dagang apabila mereka berselisih antara satu sama lain di laut lepas. Bagaimanapun, kapal-kapal perang tidak berbuat demikian sebaliknya melakukan passing honours antara satu sama lain. Pengibaran panji-panji juga penting sebagai pasport atau kelulusan untuk memasuki sesebuah pelabuhan. Disebabkan perjanjian tertentu misalnya, hanya kapal-kapal yang mengibarkan panji tertentu sahaja boleh memasuki dan berlabuh.

Bendera yang dikibarkan di haluan kapal pula dipanggil jack ataupun hanya "bendera". Ini kerana kebanyakan negara menggunakan bendera nasional mereka sebagai jack. Begitu juga TLDM dimana Jalur Gemilang dikibarkan di haluan.